PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di premis-premis di seluruh Negara, semalam.
Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Bin Mohd Ali, dalam suatu kenyataan media berkata, tujuan pemeriksaan dan pemantauan itu dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula 1 November 2023 seperti yang diumumkan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, pada 30 Oktober lalu.
“KPDN telah menggerakkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

“Pada masa yang sama, KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi Pasar Basah, Hypermarket dan Supermarket, Pasar Mini dan Kedai Runcit di seluruh Malaysia,”katanya dalam suatu kenyataan.
Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan subsidi dan kawalan ke atas harga telur ayam gred A, B dan C dengan menggunakan mekanisme sedia ada di bawah Penentuan Harga Maksimum Telur Ayam yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2023 juga berkuat kuasa bermula 1 November 2023. – KPDN –

IMedikel TV






