Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan inisiatif Dapur Digital yang dilaksanakan melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM) dan Payung RAHMAH, sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya B40, menjana pendapatan harian dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh, kewujudan Dapur Digital adalah langkah inovatif yang bukan sahaja membuka peluang keusahawanan makanan kepada masyarakat, malah memberi nilai tambah kepada aspek pembangunan komuniti, penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf ekonomi setempat.
“Dapur Digital Seri Perlis II adalah antara contoh terbaik pelaksanaan program ini apabila turut menawarkan Menu RAHMAH untuk membantu komuniti yang kurang berkemampuan mendapatkan hidangan seimbang pada harga berpatutan,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa PFBM akan berperanan menggerakkan Dapur Digital dengan menyelamatkan lebihan makanan yang dihasilkan oleh pengeluar makanan di sekitar Lembah Klang, sebelum diagihkan terus kepada golongan sasar di Perumahan Awam Seri Perlis II.
Tambahnya, pendekatan ‘whole of nation’ melalui program seperti PFBM, Payung RAHMAH dan Dapur Digital bukan sahaja merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI, malah menjadi penanda aras dalam memacu pembangunan ekonomi setempat serta meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara.
“KPDN akan terus komited menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperluas manfaat program ini kepada lebih ramai golongan memerlukan, sekaligus memastikan keseimbangan mutu hidup rakyat berdasarkan ilmu dan kesedaran terhadap pengurusan kos sara hidup masa kini,”katanya.
IMedikel TV






