Shah Alam, SELANGOR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub sedia mempertimbangkan cadangan untuk menambah bekalan gula ketika musim perayaan.
Beliau berkata, cadangan itu dilihat bersesuaian berikutan beberapa negeri mengalami masalah bekalan gula terutamanya ketika sambutan perayaan yang besar.
“Betul, saya setuju dengan cadangan itu (pertambahan bekalan gula). Itu kena ada unjuran, pegawai saya akan melihat statistik bekalan semasa dan kita kena lihat jika Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Berhad boleh bantu kita.
“Sebagai contohnya, jika di Johor perlukan 10,000 tan metrik dan Kelantan memerlukan 13,000 tan metrik, kita sudah tahu pada perayaan besar, berapa peratus kekurangan itu akan dapat ditampung.

“Maka, pemborong boleh menyimpan dan membeli bekalan yang lebih untuk menampung kekurangan gula,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan ke Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai kesan Ops Manis yang dijalankan di empat negeri pada Mei lalu, Salahuddin berkata, setakat ini ia memberi kesan positif yang mana beliau tidak mendengar krisis atau isu bekalan gula terputus.
Bagaimanapun, katanya pengguna diminta untuk melaporkan kepada KPDN jika kawasan mereka mengalami masalah kekurangan atau terputus bekalan bahan pemanis itu.
“Saya minta kerjasama pengguna untuk terus ambil gambar kedai itu (premis jualan) beserta lokasi kepada kami yang mana pegawai akan segera melakukan pemeriksaan.
“Pegawai kita akan minta pemborong menjawab kepada kedai mereka tiada bekalan gula,” katanya.
Pada awal Mei lalu, Ops Manis dilancarkan bagi menangani masalah ketiadaan gula dan ia dilaksanakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah sehingga 4 Jun lalu.
Melihat kepada keberkesanan ops berkenaan, KPDN meneruskan Ops Manis 2.0 bermula semalam (6 Jun) dan akan dilaksanakan di seluruh negara.
Sumber BH Online
Imedikel TV






