Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN RAMPAS BARANGAN SELUDUP BERNILAI LEBIH RM6.8 JUTA

KPDN KELANTAN RAMPAS BARANGAN SELUDUP BERNILAI LEBIH RM6.8 JUTA

146
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan rampasan bernilai lebih RM6.8 juta membabitkan 1,025 kes sepanjang Januari sehingga kini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kes tersebut membabitkan kesalahan penyelewengan, penyeludupan, barangan tiruan dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga kawalan serta tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dipamerkan untuk jualan.

”Bermula Januari hingga kini sebanyak 79,242 pemeriksaan yang telah dilaksanakan di seluruh negeri ini yang melibatkan pelbagai pemeriksaan, operasi dan pemantauan.

”Pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan di premis membabitkan seramai 141 pegawai penguat kuasa dan 85 pegawai pemantau harga di seluruh negeri,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 di Pasar raya Lotus, Lembah Sireh, di sini, pada Isnin.

Azman berkata pihaknya turut menahan 210 individu membabitkan seramai 189 lelaki dan 21 wanita termasuk 13 individu bukan warga negara yang ditahan di kawasan sempadan iaitu di Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat dan Tanah Merah dengan nilai denda RM150,000

Dalam masa sama, Azman berkata sejak penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melarang rentas sempadan secara haram yang berkuatkuasa sejak 1 Disember lalu, aktiviti rentas sempadan menurun.

”Penegasan yang dilakukan oleh polis Kelantan dengan melarang sebarang aktiviti rentas sempadan secara haram sangat baik.

”Sekaligus mengurangkan aktiviti penyeludupan. Aktiviti itu masih ada tetapi tidak sekerap sebelum penguatkuasaan. Kebetulan ketika dilaksanakan Kelantan dilanda banjir menyebabkan berlaku limpahan air Sungai Golok.

”Setakat ini ada beberapa individu yang ditahan untuk menyeberangi sempadan negara Thailand di sepanjang Sungai Golok secara haram. Walaupun  mereka tidak membawa barang, namun sekiranya mereka melintas sempadan juga sudah dikenakan tindakan oleh PDRM,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here