KUALA LUMPUR: Sejak mendirikan rumah tangga pada 2019, pasangan pelakon popular Indonesia, Rezky Aditya dan Citra Kirana melalui pelbagai momen ‘pasang surut’.
Memetik laporan Berita Harian, seperti pasangan lain, dua bintang sinetron itu mengakui sedang berusaha dan belajar mencapai kehidupan harmoni sebagai suami isteri.
Citra atau mesra disapa Ciki berkata, sudah tentu mereka mahukan kebahagiaan sebagai keluarga kekal berpanjangan hingga akhir hayat.
Berikutan itu, pelakon filem Keajaiban Air Mata Wanita ini berkongsi, apa yang dilakukan bersama suami adalah mencari titik persamaan dalam setiap perkara.
“Dalam rumah tangga pasti ada ujian dan harus terima dengan berlapang dada. Untuk kekal harmoni dan romantis, kami akan mencari masa berdua. Salah satunya, berkunjung ke Malaysia.
“Selain mempromosikan filem Keajaiban Air Mata Wanita, kami lanjutkan masa beberapa hari untuk bercuti dan jalan-jalan.
“Jadi, meluangkan masa berkualiti sangat penting dalam hubungan. Mempunyai hobi berdua juga sangat penting dan buat masa sekarang, kami aktif dengan sukan ‘pickleball’,” katanya kepada BH Online.
Citra yang popular dengan watak Yumna dalam filem Air Mata Di Ujung Sajadah terbitan 2023 berkata, apa sahaja yang berlaku perlu diterima dengan berlapang dada.
“Sebenarnya, kami bernikah pada 2019. Jadi, masih dalam proses belajar memahami dan utuhkan rumah tangga.
“Kalau tanya tip, hanya tip kecil sahaja daripada pasangan suami isteri yang masih baru ini,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini.
Menurut Rezky, komunikasi dan sikap saling menghormati antara pasangan menjadi kunci untuk memelihara hubungan.
“Komunikasi dan saling menghormati bagi memastikan hubungan suami isteri terjaga. Di Malaysia, kami akan mencari makanan dan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai filem Keajaiban Air Mata Wanita yang menyaksikan gandingan kali pertama mereka sebagai suami isteri, Citra menyifatkan naskhah itu sarat dengan momen menyentuh emosi.
“Saya boleh katakan seluruh filem ini menyentuh jiwa dan emosi. Air mata dicurahkan adalah dari emosi sebenar, tanpa bantuan ubat titis mata. Kami perlu meresapi emosi dalam setiap adegan.
“Pembelajaran terbesar daripada watak Kiki, ia mendidik saya untuk terus kuat dan tidak berhenti memperbaiki diri ke arah lebih baik,” katanya.
Bagi Rezky yang popular dengan sinetron seperti Benci Jadi Cinta dan Cinderella, dia menerima tawaran membintangi naskhah berkenaan kerana sarat dengan nilai positif kepada penonton.
“Kalau hendak bilang (beritahu) susah, tidak. Sebab hasil kerjasama semua pihak sangat baik sehingga mencapai apa yang diinginkan.
“Ini kali pertama kami berganding dalam filem. Di rumah kami buat latihan dan praktik untuk hidupkan lagi babak bersama. Saya terima watak ini sebab jalan cerita dan mesejnya sangat positif,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






