Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Kelantan merentasi lima daerah bermula semalam hingga hari ini membabitkan 68 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, kelab permotoran dan komuniti setempat.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor berkata konvoi itu membabitkan 36 kenderaan dan 32 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Harley Davidson Negeri Kelantan.
“Semalam kita menerima Jalur Gemilang daripada JaPen Negeri Perak di Sempadan Gerik –Jeli.
“Jadi semalam kita mulakan konvoi mengikut laluan bermula di Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu dan berakhir di Machang.
“Antara lokasi persinggahan kita semalam adalah di Kolej Komuniti Jeli, Dewan Terbuka SekolahMenengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja 1 dan Dataran Bandar Baru Pasir Mas, manakala konvoi hari ini di Dewan Jubli Perak Politeknik Kota Bharu dan perkarangan SMKHamzah 2 Machang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sepanjang persinggahan, pihaknya menyerahkan Jalur Gemilang, menyanyi lagu patriotik, memasang bendera pada kenderaan, melihat persembahan kesenian serta perarakan pakaian tradisional Melayu.
Terdahulu, pelepasan Konvoi KMJG 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 27 Julai lalu sebelum meneruskan perjalanan dan penyerahan Jalur Gemilang ke Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Negeri Selangor, Negeri Perak dan seterusnya diserahkan kepada Negeri Kelantan.
Hadir sama Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Ab Aziz, Ketua Jajahan Pasir Mas, Shamsul Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Sr. Dr. Md Alwi Che Ahmad.
IMedikel TV






