Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan kini selangkah menuju ke arah pengeluaran beras secara kendiri apabila sebuah kilang padi dan beras hampir siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada musim pertama pengeluaran padi tahun ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata kilang tersebut adalah salah satu mercu tanda pencapaian portfolio (projek flagship) yang sudah ditetapkan.
“Sehubungan itu, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) berperanan dalam menjayakan hasrat tersebut dengan mengadakan satu kerjasama dengan syarikat pelabur untuk membina kilang tersebut.
“Dianggarkan kilang ini mampu menghasilkan kapasiti pengeluaran sehari 600 metrik tan dan simpanan kapasiti padi kering melebihi 40,000 metrik tan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS- Kelaboran), Mohd Adanan Hassan berkenaan usaha-usaha yang dibuat pihak kerajaan negeri untuk memastikan Kelantan dapat mengeluarkan beras sendiri.
Katanya kilang tersebut berpusat di Meranti, Pasir Mas dan dinamakan Kilang Padi dan Beras Darul Naim.
“Jangkaan pengeluaran beras 5 kilogram (kg) jenama Darul Naim adalah akhir Ogos tahun ini,”katanya.
Dalam pada itu, Tuan Mohd Saripudin turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN yang sama berkenaan persoalan sama ada kerjasama antara KPKB dan syarikat pelabur turut merangkumi aspek latihan serta pendedahan kepada teknologi moden bagi petani yang terlibat.
“KPKB dengan kerjasama syarikat pelabur merangka beberapa pelan strategik terutamanya mendidik petani melalui teknologi terkini.
“Kerajaan melalui KPKB menghantar petani di Kelantan khususnya anak muda untuk mengikuti latihan akademi padi di Kedah.
“Selain itu, bagi membekalkan padi yang mencukupi, sebagai permulaan pam solar diperkenalkan diperkenalkan di beberapa tempat melalui KPKB dan syarikat bertanggungjawab bagi tujuan memperkenalkan teknologi terkini agar dapat mengimbangi kos dan perolehan hasil tanaman.
“Kerajaan juga berhasrat mewujudkan kilang padi benih hibrid yang memberi fokus kepada penghasilan benih padi hibrid khas mengikut kesesuaian tanah di negeri ini,”katanya.
Sementara itu Tuan Mohd Saripudin, berkata pihaknya memberi jaminan beras yang dihasilkan adalah sepenuhnya daripada beras tempatan dan tiada campuran beras import bagi menjawab soalan tambahan daripada ADUN (PAS-Tawang), Harun Ismail.
IMedikel TV






