Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif lain bagi meningkatkan sumber pendapatan negeri, selain unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sebagai langkah kesinambungan dalam menjamin kelestarian ekonomi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata antara fokus utama kerajaan negeri ketika ini ialah pembangunan industri hidrogen hijau (green energy) yang sejajar dengan aspirasi negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih (net zero emission).
“Kita sedang menjalankan kajian mendalam berkaitan potensi hidrogen hijau, dan beberapa pelabur sudah menunjukkan minat untuk merealisasikan projek ini di Kelantan.
“Kerajaan negeri juga menjalin kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mengembangkan potensi besar dalam industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Salor), Mohd. Saizol Ismail dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Dr. Mohamed Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang meneliti potensi pelaburan dalam industri tenaga solar.
“Kita dapati banyak pelabur menunjukkan minat terhadap tenaga solar. Kerajaan negeri kini dalam proses mengenal pasti kerjasama strategik bersama pelabur tempatan dan antarabangsa untuk mengembangkan industri ini dalam skala lebih besar,” katanya.
Selain itu, katanya lagi, inisiatif membangunkan industri kredit karbon (carbon credit) juga sedang diberi perhatian serius.
“Kita sudah menerima beberapa kertas cadangan daripada syarikat yang berminat melaksanakan projek ini di Kelantan. Namun kerajaan bersikap berhati-hati dan sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) sebelum sebarang pelaksanaan,” katanya.
Menurut beliau, hubungan strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat amat penting bagi menjayakan semua inisiatif yang dirancang, agar hasil bumi Kelantan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak mahu sejarah industri petroleum berulang, di mana walaupun ada perjanjian jelas, kita seolah-olah perlu menagih hasil daripada bumi sendiri,” katanya.
Beliau menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk terus meneroka pelbagai sumber hasil baharu demi kesejahteraan ekonomi rakyat dan negeri.
“Doakan agar segala usaha dan inisiatif ini berjaya dilaksanakan,” katanya.
IMedikel TV






