Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 436 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Kelantan berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, dengan lapan daripada mereka meraih semua A+.
Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Kelantan, Mat Lazim Mohammad, berkata jumlah itu mewakili 2.13 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan pada tahun 2024.

”Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.11 peratus berbanding tahun 2023 iaitu 2.02 peratus,”katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2024 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Tunjong, di sini, hari ini.
Menurutnya seramai 26,986 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di Kelantan manakala seramai 26,507 calon menduduki peperiksaan.
Dalam pada itu, Mat lazim berkata kejayaan calon SPM 2024 Orang Asli di Kelantan turut membanggakan apabila seramai 124 daripada 161 calon layak menerima sijil iaitu kira-kira 77.02 peratus.
”Kita ada seorang calon Orang Asli, Nur Syafienaz Nazri dari SMK Panggung Jaya, Gua Musang yang mendapat keputusan semua A dengan 3A+, 4A dan 1A-,”katanya.
Katanya sebanyak 95.99 peratus atau seramai 19,910 calon layak mendapat sijil.
Jelas Mat Lazim terdapat 106 buah sekolah mengatasi peratus calon yang layak mendapat sijil peringkat negeri dengan 50 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus termasuk 21 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
”Sekolah Menengah Sains Machang mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan 1.65 mengatasi Gred Purata Negeri (GPN),”katanya.
Kelantan mencatat GPN 4.62 bagi SPM 2024, berbanding 4.72 pada 2023, menunjukkan peningkatan 0.1 mata.
IMedikel TV






