Home Buletin Semasa KELANTAN BANTU PRODUK TANI TEMBUSI PASARAN LUAR

KELANTAN BANTU PRODUK TANI TEMBUSI PASARAN LUAR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited membantu pemain industri pertanian menembusi pasaran luar negeri dan antarabangsa melalui kerjasama dengan agensi kerajaan negeri, persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri adalah termasuk memperkenalkan serta memasarkan produk agromakanan tempatan di ekspo dan pameran berskala besar.

“Sebagai contoh Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang turut melibatkan penyertaan pempamer serta pengunjung dari luar negara.

“Selain itu, pemain industri juga diberi peluang menyertai pameran di peringkat antarabangsa seperti Asean Halal Expo (AHEX) di Thailand dan Malaysia Fest di Singapura sebagai usaha memperluaskan jaringan pasaran luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-Dabong), Ku Mohd Zaki Ku Hussin mengenai inisiatif bagi membantu petani, penternak dan usahawan Agro menembusi pasaran luar negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Tambahnya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan juga memainkan peranan penting dalam memasarkan produk usahawan ke pasaran rentas negeri dan antarabangsa.

“Sebelum ini FAMA memasarkan 170 tan metrik tembikai wangi dari Kampung Banggol ke Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang.

“Bagi pengusaha produk industri asas tani pula, FAMA turut membantu dalam aspek penjenamaan, pelabelan, pembungkusan, dan pensijilan produk,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here