Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan akan merujuk kes membabitkan remaja perempuan bawah umur yang terlibat dalam kes rogol secara suka sama suka kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) bagi membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang Syariah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, keputusan itu dibuat kira-kira dua bulan lalu hasil perbincangan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAHEIK, selaras dengan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Menurutnya, sebelum ini tindakan perundangan hanya dikenakan terhadap pihak lelaki, namun pendekatan baharu itu membolehkan remaja perempuan bawah umur yang terlibat turut dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah.
“Kebiasaannya kita hanya mengenakan tindakan kepada pihak lelaki, namun selepas menerima titah Sultan Kelantan, tindakan juga akan dikenakan terhadap remaja perempuan bawah umur yang terbabit dalam kes rogol secara suka sama suka.
“Sebelum ini tiada peruntukan undang-undang untuk mendakwa pihak perempuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, setakat ini lima remaja perempuan bawah umur yang terbabit dalam kes berkenaan telah dirujuk kepada JAHEIK untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan trend kes rogol di negeri ini menunjukkan penurunan, namun punca sebenar masih belum dapat dipastikan.
“Saya lihat sekarang ini trend kes rogol semakin menurun, tidak tahu sama ada pihak keluarga malu untuk buat laporan atau sebagainya, sebab daripada individu sendiri juga tidak ada, yang ada hanya laporan daripada doktor yang mengatakan pesakitnya mengandung.
”Dalam hal ini, bukan sahaja remaja perempuan bawah umur yang dikenakan tindakan, tetapi remaja yang berusia 17 tahun ke atas juga akan dirujuk kepada JAHEIK jika berlaku kes amang seksual,” katanya.
IMedikel TV






