Home Hiburan KERJA IKHLAS KUNCI KEJAYAAN QI

KERJA IKHLAS KUNCI KEJAYAAN QI

175
0

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia lakonan, aktor dan pengacara, Qi Razali akhirnya menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Babah pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34.

Memetik laporan Berita Harian, lebih manis, Qi atau nama sebenar, Qushairi Mohammed Razali, 48, yang tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang lakonan, membuktikan bahawa bakat dan kesungguhan mampu mengatasi kekangan. Ini menepis tanggapan bahawa hanya mereka berpendidikan seni mampu menyerlah di layar perak.

“Bagi saya, ada tiga perkara penting yang perlu ada pada seseorang pelakon. Pertamanya, bakat. Kedua, minat atau ‘passion’ yang mendalam dan ketiga, disiplin.

“Kalau tiada disiplin, sukar untuk pergi jauh walaupun memiliki bakat dan minat. Namun, untuk saya, apabila saya benar-benar meminati sesuatu, saya akan mendalaminya sepenuh hati.

“Maksud saya, apabila saya melangkah ke dunia filem, saya belajar dan fahami dahulu apa itu seni, siapa pengarah dan bagaimana proses di sebalik tabir serta segala aspek berkaitan lakonan.

“Walaupun saya tidak datang bersama kelompok pelakon yang lahir daripada sekolah teater atau keluar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya datang dengan cara berbeza, tetapi, saya tetap menghormati peraturan dan disiplin dunia perfileman,” katanya.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Qi menewaskan Aeril Zafrel yang membintangi filem Laknat; Beto Kusyairy (Reversi); Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Qi mengakui biarpun tidak menempuh laluan sama seperti pelakon lulusan institusi seni seperti ASWARA, perjalanan seninya berakar pada semangat dan kesungguhan yang tinggi.

“Perjalanan seni saya mungkin tidak sama, tetapi kesungguhan dalam setiap apa yang saya lakukan itulah kekuatan saya yang saya rasa ada pada diri saya,

“Apa juga bidang yang saya ceburi, saya akan lakukan dengan sepenuh hati dan keikhlasan,” katanya.

Lebih menarik, pelakon drama Generasi: Perfect 10 itu bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi, menjadikan detik manis menjuarai kategori Pelakon Lelaki Terbaik sebagai satu rahmat berganda buat keluarga kecilnya.

“Alhamdulillah, malam ini (kelmarin) rezeki berpihak pada saya. Waktu filem Babah mula ditayangkan, ada orang tanya, bolehkan saya menang. Terus terang saya kata, tidak pernah langsung terfikir pun.

“Tetapi, apabila duduk sendirian dan tonton semula filem itu, terlintas sedikit bayangan. Bagaimana kalau betul-betul menang? Tapi cepat-cepat saya tolak fikiran itu.

“Namun, jauh di sudut hati, memang ada harapan. Sebab bagi saya, Babah ini adalah naskhah yang istimewa. Filem ini bukan naskhah aksi atau seram, tetapi, kisah keluarga yang sangat menyentuh perasaan.

“Hendak bawa watak seorang bapa yang bisu dan pekak itu bukan mudah. Namun, itulah kelainannya,” katanya.

Qi mengakui, kekuatan utama filem tersebut bukan semata-mata terletak pada dirinya, tetapi hasil kerja berpasukan seluruh tenaga produksi, termasuk pelakon kanak-kanak yang membintangi filem berkenaan.

“Watak kanak-kanak, Kis Aisyah, banyak membantu saya memahami sisi sebenar seorang ‘babah’. Kalau saya terus berlakon tanpa interaksi dengannya, mungkin saya takkan faham sepenuhnya bagaimana menjadi seorang bapa.

“Melalui Kis, saya belajar mengenai kasih sayang, sabar dan komunikasi tanpa suara,” ujarnya.

Ditanya mengenai calon paling sengit dalam kategori itu, Qi tanpa berselindung menyebut nama Beto yang turut tercalon menerusi filem Reversi.

“Nama dia pun lebih kurang sama dengan saya. Qushairi dan Kusyairy. Saya tahu Beto memang pelakon hebat. Apa saja watak yang diberi, dia mampu hidupkan dengan cemerlang,” katanya.

Qi turut menitip pesanan buat pengarah dan penerbit tempatan agar lebih berani memberi peluang kepada pelakon yang mungkin kurang popular, namun, ada kejujuran dan disiplin tinggi dalam kerja mereka. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here