Home Buletin Semasa KERAJAAN TETAP WAKTU KERJA SYIF 42 JAM UNTUK PETUGAS KESIHATAN

KERAJAAN TETAP WAKTU KERJA SYIF 42 JAM UNTUK PETUGAS KESIHATAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menetapkan waktu bekerja syif 42 jam seminggu kepada petugas kesihatan bagi lima skim perkhidmatan kritikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebagai pengecualian daripada dasar baharu 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Langkah itu memberi kelegaan kepada 82,637 petugas kesihatan yang meliputi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.

Menurut kenyataan KKM pada Jumaat, keputusan tersebut diambil selepas kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu kerja baharu itu yang dilihat memberi tekanan kepada beban tugas sedia ada.

“Kerajaan meneliti secara mendalam keperluan operasi serta hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa.

“Tanggungjawab sedemikian menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, keputusan tersebut adalah selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai ihsan dan kebajikan.

“Ia turut memperlihatkan komitmen kerajaan untuk terus mendengar suara serta memastikan kebajikan petugas kesihatan diberi perhatian sewajarnya, sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara,” jelas kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here