Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@Imedikel TV
TUMPAT: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan akan meneliti langkah mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi sah bagi membantu penduduk yang terjejas susulan tindakan merobohkan jeti haram di kawasan sempadan Sungai Golok.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, perkara itu akan dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri yang dijadual berlangsung esok di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Menurut beliau, kerajaan memahami kesan yang dihadapi masyarakat setempat susulan tindakan penguatkuasaan tersebut dan komited mencari kaedah terbaik bagi menjana peluang ekonomi baharu di kawasan terbabit.
“Kita kena berlaku adil kepada penduduk yang berada di situ dan kita mesti serius dalam isu ini.
“Antara perkara yang akan dibincangkan ialah cara untuk mewujudkan aktiviti ekonomi di kawasan tempatan yang terkesan dengan usaha kerajaan merobohkan jeti haram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kesepaduan Nasional@Tumpat di Wat Machimmaram di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah MKN Kelantan, Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz.
Sementara itu Mohd A. Arwan berkata sebanyak 91 pangkalan haram yangberada di atas tanah milik kerajaan di kawasan sempadan telah selesaidirobohkan setakat 29 April lalu.
Beliau berkata tindakan itu dilaksanakan sebagai sebahagian usaha kerajaan membanteras aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara termasuk penyeludupan.
“Sehingga 29 April, kita telah selesai melaksanakan keseluruhan perobohan jeti haram yang berada di tanah milik kerajaan iaitu sebanyak 91 buahsemuanya.
“Masih terdapat jeti yang berada di atas tanah individu dan perkara itu memerlukan proses membabitkan agensi berkaitan,”katanya.
IMedikel TV






