Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Gejala sosial dalam kalangan remaja sangat membimbangkan sehingga kerajaan negeri bersetuju untuk memperluas pelaksanaan program pencegahan gejala sosial di sekolah-sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Datuk Wan Roslan Wan Hamat dalam satu hantaran di Facebook, berkata kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) terus komited dalam usaha mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja melalui program-program berfokuskan Pendidikan.
“Kami amat menyambut baik inisiatif ini dalam usaha mendidik dan membimbing generasi muda agar lebih berdaya tahan terhadap cabaran sosial semasa.
“InsyaAllah, melalui kerjasama erat antara PAPISMA, pihak sekolah, dan masyarakat, kita dapat membentuk persekitaran yang lebih selamat dan harmoni untuk anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas kunjung hormat wakil PAPISMA, di sini, pada Ahad.
“Terima kasih kepada wakil PAPISMA Kelantan atas komitmen dan usaha berterusan dalam menyantuni isu-isu kesihatan dan sosial dalam komuniti.
“Semoga perancangan ini berjalan lancar dan memberikan manfaat yang besar kepada anak-anak kita,”katanya.
IMedikel TV






