KOTA BHARU: Subsidi dan kawalan bagi harga ayam dan telur ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM200 juta sebulan susulan keputusan meneruskan pemberiannya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, subsidi disambung kembali bermula 1 Julai depan yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini.
“Keputusan itu dibuat susulan perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan.
“Ia mengambil kira rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan untuk mendapatkan bekalan ayam dan telur pada harga lebih rendah.

“Kita faham rakyat masih menanggung beban dengan situasi kos sara hidup ketika ini dan kerajaan menanggung kos RM200 juta sebulan dengan subsidi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Fuziah Salleh dan dan Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Salahuddin berkata, penyambungan subsidi untuk ayam dan telur mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
“Ia bukan isu kerajaan ingin hentikan subsidi, sebaliknya bajet tahun lalu berakhir 30 Jun ini dan disambung bermula 1 Julai kerana setiap kementerian ada bajet,” katanya.
Semalam, pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur diumum diteruskan selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber BH Online
Imedikel TV






