PETALING JAYA: Kenyataan berhubung pilihan raya mengejut yang dimainkan sesetengah pihak hanya sebagai satu permainan politik yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri R Ramanan, berkata tempoh dua tahun setengah ini seharusnya digunakan untuk membantu rakyat, bukan semata-mata membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
“Sikap sebegini seolah-olah mahu ‘mencuci tangan’ daripada tanggungjawab menjaga rakyat, sedangkan fokus utama sepatutnya diberikan kepada kebajikan serta usaha memperbaiki kehidupan masyarakat,” katanya kepada media selepas pelancaran Program Jangkauan Komuniti Madani, Kembali Ke Sekolah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengulas mengenai persiapan BERSATU untuk menghadapi kemungkinan berlaku pilihan raya umum (PRU) mengejut atau snap election pada hujung tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu ditegaskan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti digerakkan sekarang.
“Perbincangan juga memberi tumpuan kepada perkembangan yang amat meyakinkan susulan perbincangan khas dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas pada Rabu lalu, 5 Februari (lalu) yang turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan YB Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menegaskan bahawa keputusan berhubung pilihan raya adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, semua pihak perlu menunggu keputusan rasmi tanpa mendahului proses yang ditetapkan.
“Dia (Mohamed Azmin) selalu fikir dia Perdana Menteri, itu yang menjadi masalah. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun belum buat keputusan bila nak bubar Parlimen.
“Jadi dia cakap nak buat persiapan dua tahun setengah sebelum pilihan raya, maka dalam tempoh itu, dia tak bantu rakyat?
“Ini adalah satu permainan politik yang tidak bagus. Kalau kita nak buat persiapan untuk pilihan raya sekalipun, tunggu sehingga Perdana Menteri bubar Parlimen dan umumkan dulu,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






