Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Baru-baru ini tular sebuah syarikat yang menjual barangan isi rumah harian Eco-Shop Malaysia akan menaikkan harga produk jualannya daripada RM2.40 kepada RM2.60 berkuat kuasa 14 April depan.
Berikutan kos operasi yang semakin meningkat, syarikat Eco-Shop berusaha memastikan harga barangan berada pada tahap mampu milik dan berpatutan.
Menurut seorang pengguna, Rohasnida Rosli, 27 ketika dihubungi berkata, kenaikan harga barangan itu sama sekali tidak menjejaskan bajet hariannya kerana ianya masih terkawal.
“Saya tidak rasa terjejas sangat pun sebab naik sikit sahaja dan masih lagi tidak lari bajet dalam pembelian barangan harian.
“Saya memang selalu pergi ke kedai itu sebab semua barang yang kita nak memang ditawarkan di sana dan saya memang suka bebelanja di sana,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Rohasnida, menjelang musim perayaan, kunjungan ke Eco Shop sudah menjadi kebiasaan buatnya kerana pelbagai barangan keperluan boleh dibeli, bukan sahaja kerana harganya berpatutan, tetapi juga mudah didapati dan menjimatkan masa.
Senada dengan Wan Zainab, 60, sekiranya peniaga menaikkan harga jualan, itu sudah menjadi lumrah bagi peniaga kerana kos operasi bagi mendapatkan barangan itu juga meningkat.
“Kenaikan harga barang itu tidak membebankan pun setakat naik 20sen sebab sekarang ini kesemua kos meningkat jadi tidak pelik pun.
“Kalau syarikat tidak naikkan harga, macam mana bisnes nak maju sebab dia berniaga inginkan keuntungan.
“Sekarang pun gaji dah naik kepada RM1,700 jadi lumrah gaji naik, harga barang pun naik dan memang tidak akan turun,” katanya.
Namun, berbeza bagi ibu kepada seorang anak, Sofiah Kashuadi, 26 berkata, kenaikan harga barang sedikit sebanyak menjejaskan perbelanjaannya apatah lagi dengan pendapatan yang tidak seberapa.
“Selepas ini, kita terpaksa lebih berjimat demi memastikan persiapan raya tetap dapat diteruskan.
“Ditambah lagi dengan ada anak, biasa barang harga RM2.40 kalau ambil empat jenis barang baru harga RM10 tapi kalau dah harga RM2.60 mungkin kena pilih antara barangan mana yang penting sahaja,” katanya.
IMedikel TV






