Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Industri kenaf memerlukan ekosistem yang lengkap sekiranya industri itu ingin berkembang seperti industri kelapa sawit, getah dan koko.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata setakat ini keluasan tanaman kenaf di Malaysia sekitar 1,600 hektar, dan industri ini masih belum mempunyai ekosistem yang sempurna.
“Kalau komuniti kenaf hendak berjaya, ia perlu ada ekosistem yang lengkap. Kenaf ini boleh menghasilkan pelbagai produk, tetapi tanpa kemahiran dan rantaian proses yang teratur, kita sukar untuk bangunkan industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas perasmian Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Tahun 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya sudah memberikan beberapa cadangan kepada pihak LKTN untuk memperkukuhkan pembangunan industri itu, termasuk mengambil pendekatan seperti kejayaan sektor kelapa sawit, getah dan koko.
“Kita ambil contoh kelapa sawit, getah dan koko bagaimana mereka boleh berjaya menjadi menjadi pengeksport kepada negara. Di kenaf kita belum sampai tahap itu. Jadi kita hendak melihat dari segi proses terlebih dahulu dan lain-lain,”katanya.
Beliau berkata sebagai langkah seterusnya, pihaknya akan mengadakan lawatan ke negara-negara utama pengeluar kenaf seperti Bangladesh, China dan Indonesia untuk memahami tahap pemprosesan yang mereka lakukan.
“Kita kena faham bagaimana mereka bangunkan industri kenaf ini, walaupun mungkin hanya memproses secara asas. Kita boleh belajar dan sesuaikan dengan keperluan negara,” jelasnya.
Beliau turut optimis bahawa dalam tempoh lima tahun, LKTN mampu memberi justifikasi untuk terus kekal sebagai agensi utama dalam mempromosikan dan mengembangkan industri kenaf.
Dalam masa sama, beliau turut mengulas mengenai isu tarif global yang kini memberi kesan kepada hampir semua negara, termasuk Malaysia.
“Semua negara terkesan, bukan kita saja. Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, manakala negara lain seperti Indonesia dan Vietnam berdepan tarif keseluruhan yang lebih tinggi iaitu 34 peratus dan 56 peratus. Kita negara kecil, penduduk pun tidak besar, jadi kita kena berbincang dengan teliti,” katanya.
IMedikel TV






