Home Buletin Semasa KEMENANGAN PRK AYER KUNING BUKTI KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN PERPADUAN – JOHARI

KEMENANGAN PRK AYER KUNING BUKTI KEYAKINAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN PERPADUAN – JOHARI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV


KOTA BHARU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan masih berjaya meyakinkan rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kemenangan itu membuktikan rakyat masih memberi kepercayaan terhadap kestabilan yang dibawa  Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun ada sahaja yang memperkatakan tentang kerajaan namun ia sebenarnya tidak mengurangkan keyakinan rakyat untuk mengundi.

“Contohnya ada satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Cold Stream, mereka ada 1,700 pengundi tetapi hanya ada empat sahaja pengundi Melayu.

“Selama tempoh lapan tahun kita tidak pernah menang pilihan raya di PDM berkenaan, tetapi kali ini kita menang,”katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas perasmian Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Tahun 2025, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa keutamaan Kerajaan Perpaduan adalah memastikan kestabilan politik negara.

Menurut beliau, dalam mana-mana kerajaan baru, adalah perkara biasa untuk melalui proses penyesuaian, termasuk menghadapi keraguan daripada pelbagai pihak.

“Bagi saya Kerajaan Perpaduan ini masih baru dan sudah tentu ada yang berasa syak wasangka kepada kita.

“Jadi tugas kita ialah untuk menunjukkan kepada masyarakat apa saja perbezaan politik yang paling penting negara.

“Apa guna kita dapat kerajaan tetapi bertukar Perdana Menteri tiga kali? Bukan sahaja kita rasa tidak stabil, malah orang luar juga melihat negara kita seolah-olah tidak konsisten untuk pelaburan jangka panjang,” katanya.

Terdahulu calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dengan majoriti lebih besar.

Mohamad Yusri menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here