Home Luar Negara TRUMP DESAK RUSSIA HENTIKAN SERANGAN DI UKRAINE

TRUMP DESAK RUSSIA HENTIKAN SERANGAN DI UKRAINE

MORRISTOWN: Presiden Amerika Syarikat ( AS), Donald Trump, menggesa Russia menghentikan serangan di Ukraine dan mengancam untuk menarik diri daripada usaha damai sekiranya tiada kemajuan dicapai.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, bercakap kepada wartawan di New Jersey, Trump menyatakan kekecewaannya apabila Russia masih meneruskan serangan terhadap Ukraine

Katanya pertemuan empat matanya dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy di Vatican Sabtu lalu, berjalan dengan baik.

“Saya lihat dia lebih tenang. Saya rasa dia memahami keadaan ini, dan saya percaya dia mahu mencapai satu perjanjian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata pentadbiran Trump mungkin akan menghentikan usaha menjadi perantara perjanjian jika Russia dan Ukraine tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

“Ia perlu berlaku dengan segera, kita tidak boleh terus memperuntukkan masa dan sumber jika ia tidak membuahkan hasil,” katanya dalam program NBC ‘Meet the Press’.

Trump dan Zelenskiy, yang berada di Rom untuk menghadiri upacara pengebumian Paus Francis, mengadakan pertemuan di Vatican untuk cuba menghidupkan semula usaha bagi menamatkan perang di Ukraine.

Pertemuan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pemimpin sejak ketegangan di Rumah Putih, Februari lalu, dan berlaku pada waktu kritikal dalam rundingan untuk menamatkan konflik tersebut.

Trump mengecam tindakan Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas pertemuan itu, dengan menyatakan di media sosial bahawa tiada alasan untuk Russia melancarkan peluru berpandu ke kawasan awam.

Sementara itu, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, negara itu akan terus menyasarkan tapak-tapak yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Ketika ditanya mengenai serangan Russia ke atas Kyiv minggu lalu yang mengorbankan orang awam, Lavrov berkata sasaran mereka bukan sepenuhnya ‘kawasan awam’ dan Russia hanya menyerang ‘tapak digunakan oleh tentera’.

Zelenskiy menerusi aplikasi Telegram melaporkan bahawa Russia melancarkan hampir 70 serangan, semalam.

“Keadaan di barisan hadapan dan aktiviti sebenar tentera Russia membuktikan bahawa tekanan dunia terhadap Moscow untuk menamatkan perang ini masih tidak mencukupi,” katanya.

Pegawai Ukraine dan Eropah minggu lalu menolak beberapa cadangan AS mengenai kaedah menamatkan perang, dan mengemukakan cadangan balas mengenai isu-isu seperti wilayah dan sekatan.

Cadangan itu mengandungi pengiktirafan AS terhadap kawalan Russia ke atas Crimea dan beberapa bahagian lain di Ukraine.

Sebaliknya, Eropah dan Ukraine memberi cadangan untuk menangguhkan perbincangan terperinci mengenai wilayah berkenaan sehingga selepas gencatan senjata dimeterai.

Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius, berkata, Ukraine tidak sepatutnya bersetuju dengan cadangan AS, kerana terlalu banyak wilayah yang perlu diserahkan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata.

Penasihat Keselamatan Negara Trump, Mike Waltz, berkata Presiden AS itu meluahkan rasa kecewanya terhadap kedua-dua pemimpin, namun tetap berazam untuk membantu merundingkan satu perjanjian.

Ketua Demokrat Senat AS, Chuck Schumern berkata, beliau bimbang Trump akan ‘mengalah kepada Putin’.

“Untuk meninggalkan Ukraine begitu sahaja, selepas segala pengorbanan yang dilakukan, selepas banyak nyawa hilang dan selepas seluruh Barat bersatu menentang Putin, ia akan menjadi satu tragedi moral,” katanya dalam program CNN ‘State of the Union’. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here