Home Hiburan ‘KELUANG MAN’ GABRA

‘KELUANG MAN’ GABRA

180
0

Hero filem Keluang Man, Nas Muammar Zar Nasruddin atau Nas berkata, kerjasamanya dalam menjayakan naskhah adiwira tempatan bersama pelakon senior bagaikan impian jadi kenyataan.

Memetik laporan Harian Metro, Nas yang membawakan watak Borhan bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor dan Datuk Remy Ishak dalam naskhah istimewa itu menganggap ia peluang terbaik mengembangkan bakat seninya.

“Saya mempunyai impian untuk bergandingan dengan barisan pelakon senior. Saya bersyukur apabila memperoleh peluang ini.

“Saya banyak menimba pengalaman bukan sahaja sebagai rakan, malah boleh dikatakan bagai adik. Mereka terima kelemahan dan tidak lokek memberi tunjuk ajar.

“Saya selesa berkerja sama dengan mereka, malah pelakon lain yang menjayakan filem ini. Saya akui menjalani penggambaran filem ini cukup menyeronokkan,” kata pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu.

Mengenai filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf itu lagi, Nas mengakui perasaan berdebar menantikan maklum balas ramai sejurus ia ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Mei ini.

“Sebenarnya perasaan bercampur baur gementar, takut dan berdebar itu ada. Apatah lagi membawa watak utama dalam filem hero tempatan yang ikonik.

“Ini pula kali pertama saya membawa watak utama dalam filem. Sebelum ini, ada juga terbabit dalam pembikinan filem, namun digandingkan dengan pelakon lain, jadi tidak begitu terasa tekanan itu.

“Saya perlu ke depan dan perkara ini membuatkan saya gementar. Begitupun saya berharap semuanya berjalan lancar dan naskhah itu nanti dapat diterima seluruh lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran treler rasmi Keluang Man di ibu negara, baru-baru ini.

Treler rasmi filem adaptasi watak animasi legenda yang mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di televisyen pada 1990-an itu dilancarkan secara rasmi di semua platform media sosial.

Selain treler, turut dilancarkan poster rasmi serta pengumuman kempen inisiatif strategik komprehensif yang direka untuk pengalaman penonton dan memperkukuhkan kehadiran filem itu di pawagam.

Selain Nas, Remy dan Rosyam, filem Keluang Man terbitan Astro Shaw, Pasal Productions, Golden Screen Cinemas dan Idea River Run turut menampilkan lakonan Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan ramai lagi.- HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here