Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nara United dari Thailand dianggap pentas untuk menguji taring pasukan Kelab Bola Sepak Wan Tendong Stable (Kelantan WTS FC) pada Jumaat ini di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.
Pemilik kelab, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah berkata, perlawanan bermula pukul 8.45 malam itu lebih kepada persiapan awal Kelantan WTS FC untuk mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025-2026 ini.
Menurutnya, pasukan Kelantan WTS FC perlu manfaatkan aksi persahabatan tersebut dengan mencipta kemenangan dan pemain-pemain perlu menunjukkan aksi terbaik kepada penyokong-penyokong yang hadir.

“Saya mensasarkan kehadiran lebih 5,000 penonton akan menyaksikan perlawanan ini dan difahamkan penyokong pasukan Nara United FC juga turut hadir bersama.
“Ayuh, ini rumah kita, ini masanya juga penyokong- penyokong dari negeri Cik Siti Wan Kembang bersatu untuk menyokong pasukan dari Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Muhd Ridhuan berkata, Nara United FC kini bersaing dalam Liga 3 Thailand dan merupakan pasukan handalan Selatan Thailand dengan dibarisi pemain import dari Brazil dan Jepun.
Beliau berkata, persiapan pasukan Kelantan WTS FC kini sudah mencapai tahap 100 peratus dengan disertai bekas pemain-pemain berpengalaman di pentas Liga Super.
Katanya, antara nama-nama besar yang dibarisi Kelantan WTS FC adalah Wan Zaharulnizam Zakaria, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi, Muhamad Shahrul Hakim Rahim, Muhamad Syazwan Yusoff serta beberapa orang lagi pemain berpengalaman.
“Tiket berharga RM20 (astaka) dan RM10 (terbuka) akan mula dijual hari Rabu (esok) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bermula pukul 2 petang hingga 6 petang, manakala hari Khamis serta Jumaat pada pukul 10 pagi hingga 6 petang.
“Bagi orang Pasir Mas tiket juga turut dijual di Restoran Wan Noor Steamboat Tendong dan Pejabat Urusan WTS FC,” katanya.
IMedikel TV






