Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 131 warga asing di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana gagal memenuhi syarat kemasukan dalam negara, di sini, jumaat lalu.
AKPS menerusi kenyataan memaklumkan, semua warga asing terbabit terdiri daripada 96 lelaki Bangladesh, 30 lelaki Pakistan serta empat lelaki dan seorang wanita Indonesia.
“Mereka dikenalpasti melanggar peraturan dengan tempahan penginapan yang mencurigakan, gagal melapor diri di kaunter Imigresen serta membawa wang sara diri yang tidak mencukupi.
“Namun, masalah kewangan ini adalah niat sebenar mereka,” jelas kenyataan itu, pada Isnin.
Dalam operasi itu juga, AKPS telah memeriksa seramai 300 warga asing di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Perlepasan.
“Ada antara mereka yang mendakwa ingin tinggal selama sebulan tetapi hanya membawa wang berjumlah RM500 sekaligus menimbulkan rasa curiga terhadap tujuan mereka.
“Bagaimanapun, pelawat perlu membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi, itu sudah selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa,” jelasnya.
AKPS menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan malah sebarang cubaan masuk melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Justeru, semua pelawat asing dinasihatkan agar memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan serta sumber kewangan adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di negara ini.
IMedikel TV






