Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL BERSUBSIDI

KPDN KELANTAN TUMPAS CUBAAN SELEWENG PETROL BERSUBSIDI

251
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Cubaan menyeleweng petrol bersubsidi berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Pasir Mas dalam satu operasi di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, semalam.

Menurut Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, dalam operasi yang dijalankan pada jam 11.30 pagi itu, pasukan penguat kuasa menemui sejumlah 80 liter petrol bersubsidi bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan bahan api terbabit.

“Antara peralatan yang dirampas termasuk enam tong jerikin kosong, satu unit alat timbang elektronik serta satu unit pam penyedut, yang kesemuanya ditemukan dalam sebuah kenderaan jenis Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM4,364,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pihak berkuasa mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Rantau Panjang sebelum mengekori kereta berkenaan yang kemudian berhenti di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Gual Tok Deh.

Bagaimanapun menurut beliau sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri ke arah kawasan semak berhampiran dan meninggalkan kereta dalam keadaan enjin masih hidup.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan telah dibawa ke Pejabat KPDN Pasir Mas untuk tindakan lanjut,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here