Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan 12 juta pelancong pada tahun 2026 berbanding 10.5 juta pada 2024 dan 11 juta pada 2025.
Menerusi laporan UPKN, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, data tersebut menunjukkan trend peningkatan kedatangan pelancong ke Kelantan setiap tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif promosi dan program pelancongan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) sedang merangka pelbagai acara pelancongan, kesenian dan kebudayaan bagi tahun 2026.
“Usaha tersebut meneruskan kesinambungan serta kejayaan kempen ‘Indahnya Kelantan’ untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,”katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kempen Malaysia Year End Sale (MYES), Wilayah Timur, di Perkarangan AEON Mall, di sini, malam tadi.
Beliau berkata kerajaan negeri amat berharap semua program yang dirancang untuk tahun 2026 akan mendapat kerjasama erat daripada semua pihak.
“Saya yakin kita akan menerima sokongan padu daripada pemain industri pelancongan serta penggiat kebudayaan dan kesenian yang menjadi elemen penting dalam produk pelancongan Kelantan,” katanya.
“Kelantan bukan sahaja terkenal dengan keunikan dan keenakan makanan tradisional, bahkan turut memiliki kepelbagaian budaya yang unik merangkumi pelbagai bidang kesenian dan warisan yang boleh menarik pelancong datang ke Kelantan,”katanya.
IMedikel TV






