Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan merancang sebanyak 52 program pelancongan, kebudayaan dan warisan sepanjang tahun 2026, peningkatan ketara berbanding 41 program yang dianjurkan pada tahun lalu, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penambahan jumlah program berkenaan selari dengan strategi kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk pelancongan, sekali gus memenuhi minat pengunjung yang berbeza.
“Jumlah program pada 2026 sudah pasti lebih banyak berbanding tahun sebelumnya kerana ia ada kaitan secara langsung dengan jumlah pengunjung.
“Tidak semua pelancong minat perkara yang sama, sebab itu kita sediakan pelbagai jenis program,”katanya pada sidang media di Program Acara Sambutan Di Pintu-pintu Masuk Di Seluruh Negara dan Di Hab Pengangkutan Utama Sempena Visit Malaysia 2026, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program yang dirancang merangkumi pelbagai segmen termasuk pelancongan makanan, kebudayaan dan kesenian, serta eko-pelancongan seperti aktiviti kembara dan penerokaan alam semula jadi.
“Ada yang suka makan-makan, kita sediakan program berkaitan makanan. Ada yang minat kebudayaan, kita ada program kebudayaan. Ada juga yang gemarkan eko-pelancongan dan aktiviti hutan, semua ini kita susun dalam kalender pelancongan negeri,” katanya.
Dalam usaha memperluas promosi di negeri ini, beberapa program sudah dirangka termasuk menjemput pemain industri dari luar negara hadir sebagai tetamu untuk menjelajah tempat-tempat menarik di seluruh negeri.
“Kita jemput mereka datang dan tinggal kira-kira seminggu di sini kita bawa mereka menjelajah ke seluruh negeri, ke lokasi-lokasi pelancongan menarik supaya mereka tahu potensi sebenar Kelantan.
“Ia sekaligus memberi pendedahan tentang negeri Kelantan kepada pelancong lain,”katanya.
Katanya langkah itu diambil bagi menjawab persoalan mengapa sebelum ini ramai pelancong hanya menjadikan Kota Bharu sebagai lokasi transit sebelum ke Pulau Perhentian.
“Sebelum ini kebanyakan pelancong luar tidak tahu terdapat banyak perkara yang mereka manfaatkan ketika berada di Kelantan.
“Kalau mereka (pelancong) tahu sudah tentu mereka akan maklumkan kepada ejen pelancongan untuk sediakan itinerari (jadual perjalanan) satu atau dua malam di Kota Bharu,”katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan perkhidmatan bot dari Tok Bali ke Pulau Perhentian dijangka dibuka Mac depan.
“Ketika ini masih ditutup kerana musim tengkujuh. Apabila dibuka nnati, perkhidmatan pengangkutan bot bersaiz besar dan feri dari Tok Bali ke Pulau Perhentian akan beroperasi bagi memudahkan pergerakan pelancong.
“Sebelum ini semuanya kena pergi ke Kuala Besut dari Kota Bharu,”katanya.
Semalam IMedikel TV melaporkan Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan 12 juta pelancong pada tahun 2026 berbanding 10.5 juta pada 2024 dan 11 juta pada 2025.
IMedikel TV






