Home Buletin Semasa HUBUNGAN PAS–BERSATU DI KELANTAN KEKAL KUKUH, TIDAK TERJEJAS ISU LUAR

HUBUNGAN PAS–BERSATU DI KELANTAN KEKAL KUKUH, TIDAK TERJEJAS ISU LUAR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Hubungan kerjasama antara PAS dan Bersatu di Kelantan kekal kukuh serta tidak terjejas meskipun wujud perkembangan politik di negeri lain, kata Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Beliau berkata, kerjasama dalam Kerajaan Negeri berjalan dengan baik di semua peringkat, termasuk pentadbiran dan jentera parti, malah hubungan itu terus diperkukuhkan melalui pelbagai program bersama.

“Kita di Kelantan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan PAS. Kerjasama saya dengan kerajaan dan tidak sedikit pun rasa terjejas akibat apa yang sedang berlaku. Bahkan di peringkat parti pun sama, kita ada program bersama antara Bersatu dan PAS di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Program Acara Sambutan Di Pintu-pintu Masuk Di Seluruh Negara dan Di Hab Pengangkutan Utama Sempena Visit Malaysia 2026, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Menurut beliau, di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Bersatu, sebahagian besar tenaga kerja di peringkat pusat khidmat dan jentera adalah daripada PAS, sekali gus membuktikan wujud kerjasama erat antara kedua-dua parti.

“Lebih separuh petugas di peringkat Pusat Khidmat DUN (PKD) dan pusat khidmat adalah daripada PAS. Mereka bekerja bersama dan kerjasama ini berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, yang mengesahkan bahawa hubungan antara parti-parti dalam kerajaan negeri kekal baik dan stabil.

Beliau menegaskan, sebarang isu politik yang berlaku di negeri lain, termasuk Perlis, tidak mempunyai kaitan dengan situasi politik di Kelantan.

“Apa yang berlaku di Perlis itu dunia lain. Di Kelantan, alhamdulillah, PAS dan Bersatu dikendalikan oleh pimpinan yang berpengalaman dan matang dalam politik, sebab itu kita menilai keadaan secara rasional,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here