Home Buletin Semasa KARNIVAL KHATAN PERDANA MASJID MUKIM AL MUTTAQIN MERIAH, ERATKAN HUBUNGAN KOMUNITI

KARNIVAL KHATAN PERDANA MASJID MUKIM AL MUTTAQIN MERIAH, ERATKAN HUBUNGAN KOMUNITI

280
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Suasana pagi di Masjid Mukim Al Muttaqin hari ini dipenuhi keceriaan apabila Karnival Khatan Perdana julung kali dianjurkan sejak penubuhan masjid berkenaan.

Sorakan dan gelak tawa kanak-kanak diiringi kehadiran pihak bomba yang tampil menyantuni peserta melalui aktiviti siraman air, sekali gus membantu mengurangkan rasa gementar sebelum menjalani upacara berkhatan. 

Kehadiran jentera bomba dengan menyembur air menjadi tarikan utama, menjadikan program berkenaan lebih santai dan menyeronokkan.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Azlan Zainal dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu berkata, 10 anggota bersama dua jentera, masing-masing sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terbabit bagi menjayakan program tersebut.

Menurutnya, penglibatan bomba dalam program komuniti bukan sahaja bertujuan memberi sokongan moral kepada kanak-kanak, malah sebagai usaha mendekatkan agensi itu dengan masyarakat.

“Siraman air ini dapat membantu anak-anak berasa lebih gembira dan teruja. Apabila mereka seronok, semangat untuk berkhatan juga meningkat.

Saya berharap dengan adanya program seperti ini secara tidak langsung pihak bomba dapat berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau memaklumkan, kira-kira 30 kanak-kanak terbabit dalam program khatan pada hari ini, selain pihak bomba turut terbabit dalam beberapa program komuniti lain di sekitar kawasan Kota Bharu sepanjang musim cuti persekolahan.

Sementara itu, Ketua Biro Dakwah Masjid Mukim Al Muttaqin, Mohd Zulkifli Hamzah, berkata karnival berkenaan dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Menurutnya, program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 20 gerai pameran dan jualan, antaranya pemeriksaan kesihatan mata, derma darah, perkhidmatan berkaitan umrah serta pelbagai aktiviti kebajikan untuk pengunjung. 

“Karnival ini dimulakan dengan majlis perasmian dan doa selamat, diikuti cabutan bertuah, penyampaian anugerah serta pertandingan tradisi seperti pulut kuning dan pulut semangat.

“Namun pengisian utama tetap khatan perdana yang membabitkan 30 peserta,” katanya.

Menariknya, peserta khatan turut dibawa dalam satu perarakan sejauh kira-kira lima kilometer menggunakan motosikal mengelilingi kawasan sekitar masjid, diiringi polis trafik sebelum diraikan dengan acara mandian beramai-ramai sebaik tiba di masjid. 

“Karnival Khatan Perdana ini pertama kali dianjurkan oleh masjid ini. Melihat sambutan yang sangat menggalakkan, insyaAllah program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih besar dan menyeluruh,” katanya.

Karnival tersebut bukan sahaja menjadi platform kebajikan, malah berjaya mengukuhkan hubungan antara masjid, agensi keselamatan dan masyarakat setempat dalam suasana harmoni dan penuh nilai kemanusiaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here