Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 73, Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran simpang tiga Kampung Chenis, Pahi, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superitenden Mazlan Mamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.10 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Pasir Puteh menghala ke Dabong bertembung dengan motosikal yang keluar secara tiba-tiba dari simpang Kampung Chenis untuk memasuki jalan utama.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pelanggaran tidak dapat dielakkan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, penunggang motosikal berusia 37 tahun dan pembonceng mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk mendapat rawatan.
“Ibunya sedang menerima rawatan di unit kecemasan di hospital berkenaan kerana kecederaan parah, manakala anaknya disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di hospital sama,”katanya.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang keluar simpang tanpa memberi laluan kepada kenderaan di jalan utama,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika musim Ramadan, selain memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum keluar dari simpang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






