KUALA LUMPUR: “Saya, anak-anak dan keluarga semua tunggu awak balik ya.”
Demikian titipan doa dan kata-kata semangat daripada pelakon yang juga usahawan, Nadzmi Adhwa kepada isteri, Ardell Aryana agar misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disertainya, dipermudahkan.
Nadzmi, 34, menerusi hantaran video dalam media sosial, malam tadi, berkongsi agar pengorbanan isterinya itu membuahkan hasil dan berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza demi membantu umat Islam di sana.
“Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Gaza. Luruskan niat awak, kami sentiasa mendoakan awak,” katanya.
“Semoga Allah reda dengan usaha awak membantu ummah dan semoga Allah permudahkan awak serta semua yang terlibat,” tulisnya.
Dalam hantaran yang menyentuh hati itu, Nadzmi turut menyifatkan Ardell bukan sekadar isteri, malah teman rapat dan sahabat sejati dalam hidupnya.
“Semoga berjaya isteri, teman gaduh, kawan baik dan ‘soul mate’,” tulisnya lagi.
Sementara itu, penceramah bebas, PU Rahmat turut memuat naik hantaran mendoakan Ardell dan pempengaruh, Haroqs agar selamat pergi ke misi kemanusiaan terbabit.
Selain Ardell, penyanyi dan aktivis, Heliza Helmi serta adiknya, Hazwani Helmi turut terbabit dalam misi kemanusiaan ini.
Difahamkan, setakat ini, empat kumpulan GSF 2.0 delegasi Malaysia sudah berlepas untuk menjayakan misi kemanusiaan ini.
Terdahulu, kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 melancarkan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza pada 12 April ini bermula dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol. – BH Online –
IMedikel TV






