WASHINGTON: Kamala Harris menyampaikan ucapan mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sambil berikrar untuk membantu proses peralihan kuasa.
Harris memberitahu penyokong yang menangis dalam ucapan di Washington supaya mereka “jangan berputus asa”, dan dia menggesa mereka untuk “terus berjuang” selepas kekalahannya.
Ikrar calon Parti Demokrat untuk memastikan penyerahan kuasa secara aman bertentangan dengan keengganan pesaingnya, Donald Trump, untuk berbuat demikian pada pilihan raya lalu.
“Sementara saya bersetuju dengan (keputusan) pilihan raya ini, saya tidak mengakui (kekalahan) perjuangan yang menyemarakkan kempen ini,” kata Harris dalam ucapan ringkasnya yang kuat di Universiti Howard di sini.
“Saya tahu ramai orang berasa seperti kita sedang memasuki masa gelap,” katanya, suaranya serak ketika dia membuat kenyataan umum pertamanya sejak kemenangan besar Trump yang mengejutkan. “Tetapi untuk manfaat kita semua, saya harap itu tidak berlaku.”
Harris sebelum ini menghubungi Trump untuk mengucapkan tahniah, kata seorang pembantu.
Trump mewakili Parti Republikan mengesahkan kemenangannya dan kemunculan semula bersejarahnya ke Rumah Putih, semalam.
Lelaki berusia 78 tahun itu memenangi margin yang lebih luas berbanding sebelum ini, walaupun disabitkan kesalahan jenayah dan pernah berdepan tindakan pemecatan semasa menjadi presiden.
Kamala menjadi calon mewakili Parti Demokrat selepas Presiden Joe Biden, 81, menarik diri daripada pertandingan pada Julai lalu berikutan kebimbangan berhubung usianya. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






