Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan I Medikel TV
KOTA BHARU: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan pelbagai pihak.
Antaranya kerajaan bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.
Menurutnya, ia termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Beliau berkata bayaran Insentif RM1,000 turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Seorang guru, Siti Nuurhasmah Zulkifli, 35, berkata dia agak terkejut dengan bayaran yang diberikan kerajaan.

“Bukan saya sahaja yang terkejut, tapi ramai yang terkejut dengan bayaran tersebut. Paling tinggi setakat ini lah bagi saya.
“RM2000 sangat berbaloi lah. Dapat kurangkan beban, sebab sekarang barang naik,”katanya.
Manakala seorang pesara kerajaan, Abdullah Omar, 65, berkata dia bersyukur kerana kerajaan masih cakna kepada pesara.
“Alhamdulillah, syukur sangat. Banyak sangat dapat kali ini. Boleh tampung banyak barang keperluan.
“Lagipun, semua bonus tu saya serahkan kepada isteri saya untuk perbelanjaannya,”katanya.
Bayaran tersebut akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban.
IMEDIKEL TV






