Home Buletin Semasa JPJ SITA KENDERAAN DIPANDU WARGA NEPAL

JPJ SITA KENDERAAN DIPANDU WARGA NEPAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KULIM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah kenderaan yang dipandu seorang warganegara Nepal selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dalam satu operasi penguatkuasaan di Kilometer 2, Kawasan Perusahaan Kulim, petang semalam.

Menerusi hantaran di laman rasmi semalam, pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 2.59 petang mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan berkenaan telah tamat tempoh.

”Selain itu, nombor pendaftaran kenderaan tersebut turut didapati sukar dicamkan serta tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.

”Hasil semakan lanjut mendapati kenderaan berkenaan masih mempunyai perlindungan insurans yang sah,”menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan tetap diambil susulan kesalahan yang dikesan.

JPJ memaklumkan kenderaan itu telah disita bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut jabatan itu, pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan jalan raya adalah tanggungjawab semua pengguna jalan raya tanpa mengira kewarganegaraan.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pengguna mematuhi peraturan yang ditetapkan serta meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here