Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 106 tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat dikenakan kerana gagal mematuhi Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan sepanjang Perayaan Tahun Baharu Cina yang berkuatkuasa pada 14 Februari lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 notis P22 dikeluarkan, 37 sitaan kenderaan berat manakala 20 lagi melibatkan notis isu keselamatan lain.
“Sepatutnya kenderaan tersebut tidak berada di atas jalanraya sepanjang tempoh penguatkuasaan.
“Perintah yang sama akan berkuatkuasa sekali lagi selepas perayaan Tahun Baharu Cina pada 21 hingga 22 Februari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena Op Tahun Baharu Cina 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, malam tadi.
Jazmanie berkata, terdapat lima negeri yang merekodkan tindakan tertinggi seperti Negeri Sembilan 35 kes, Selangor 16 kes, Pulau Pinang 15 kes, Perak 12 kes dan Terengganu sembilan kes.
Jelasnya, JPJ sentiasa memberi tumpuan kepada peningkatan pematuhan di laluan utama dan kawasan berisiko tinggi (black spot) bagi meningkatkan disiplin pengguna.
Dalam pada itu, sehingga semalam, JPJ turut memeriksa sebanyak 41,332 motosikal dan mengeluarkan sebanyak 7,414 notis P22 dan 103 sitaan di seluruh negara.
IMedikel TV






