Home Sukan JOEHARI KONGSI PERKEMBANGAN BOLA SEPAK NEGARA DENGAN ANWAR

JOEHARI KONGSI PERKEMBANGAN BOLA SEPAK NEGARA DENGAN ANWAR

170
0

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan kerjasama yang erat dengan kerajaan bagi memastikan hala tuju bola sepak negara sentiasa berada di landasan tepat untuk berkembang ke tahap yang lebih baik.

FAM dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini berkongsi mengenai kunjungan hormat Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Ia turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang juga mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Dalam pertemuan sama, Joehari turut berkesempatan berkongsi mengenai perkembangan bola sepak negara kepada Anwar.

“Datuk Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutama bagi memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi, selain perkembangan terkini persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini,” kata FAM.

Joehari diiringi barisan kepemimpinan tertinggi FAM yang lain antaranya Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh.

Selain itu, Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Sebagai rekod, Kongres Pemilihan FAM yang berlangsung bulan lalu menyaksikan jawatan Presiden menjadi milik Joehari yang menang tanpa bertanding, begitu juga dengan Timbalan Presiden yang kekal diisi dua penyandangnya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram.

Bagi empat kerusi Naib Presiden, hanya Rosmadi berjaya mengekalkan kerusinya dan EXCO FAM, N Saaran kali ini dipilih bersama dua muka baharu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh.

Dua kerusi EXCO Wanita juga kekal milik penyandang iaitu Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Datuk Suraya Yaacob namun bagi baki lapan lagi kerusi EXCO, hanya Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berjaya mengekalkan kerusi yang disandang.

Susulan itu, tujuh muka baharu dipilih iaitu Zainal Abidin, Hishamuddin Abdul Karim, Mohd Azizudin Mohd Shariff, Tang Chee Hong, Datuk Kamarudin Hj Hassan, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Datuk Dr P Sugumaran. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here