Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas 940,000 batang rokok putih seludup bernilai RM640,000 selepas ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok berhampiran Galeri Tengku Anis, Tumpat pada Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi kira-kira jam 2.15 pagi selepas pihak berkuasa mengesan sebuah bot pancung bergerak dari Tak Bai, Thailand ke arah Galeri Tengku Anis.
“Bot berkenaan dikesan bergerak laju dalam keadaan gelap sebelum berpatah balik menuju ke Tak Bai sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Suspek berjaya meloloskan diri namun pihak berkuasa menemui longgokan kotak rokok yang dibungkus dalam plastik lutsinar dan ditinggalkan di tebing sungai berhampiran galeri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
”Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 94 peti dan kotak mengandungi 940,000 batang rokok putih tanpa cukai dengan nilai anggaran RM640,000,”katanya.
Erwan Shah berkata, pihaknya juga mengesan kewujudan sebuah lagi bot yang dipercayai berperanan sebagai bot pemantau bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan membabitkan bot atau individu dibuat di lokasi kejadian kerana semua suspek telah melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata, semua barangan rampasan disita dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
IMedikel TV






