Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 47 kenderaan mewah pelbagai jenis dan jenama bernilai lebih RM6.2 juta termasuk cukai sejak Januari hingga 16 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata taktik licik sindiket kenderaan mewah tidak berkastam itu akhirnya terbongkar hasil serbuan pihaknya.

“Modus operasi sindiket berkenaan dengan menyimpan kenderaan seludup dari negara jiran di sekitar Johor Bahru sebelum diedarkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
“Mereka menyembunyikan kenderaan terbabit di tempat parking kereta kondominium bagi mengaburi mata pihak berkuasa,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini, hari ini.
Menurut Wan Jamal Abdul Salam rampasan itu dibuat berdasarkan hasil maklumat awam yang disalurkan kepada pihaknya.
“Antara kenderaan yang dirampas adalah termasuk Volkwagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedez Benz bernilai antara RM50,000 hingga RM185,000 tidak termasuk cukai,”katanya.
Menurut beliau, sindiket terbabit turut menggunakan platform media sosial untuk menarik pelanggan dengan tawaran harga jauh lebih rendah iaitu sebanyak 35 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
Beliau berkata kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar aatu dipenjarakaan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,”katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
JKDM turut menyeru supaya orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan.
IMedikel TV





