Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 173.35 tan beras seludup bernilai RM655,763 dalam serbuan di lima lokasi di sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata operasi dijalankan Pasukan Operasi, Cawangan Penguatkuasaaan JKDM Kelantan bermula 15 Julai hingga 15 Ogos lalu.

““Hasil serbuan tersebut, anggota pasukan menahan enam lelaki tempatan berumur lingkungan 30an yang juga pemandu dan kelindan lori serta merampas 3,467 guni beras (173.35 tan).
“Nilai rampasan beras berjumlah RM468,045, manakala duti/cukai terlibat berjumlah RM187,718 dan anggaran nilai kenderaan yang terlibat berjumlah RM1.39 juta. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM2 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media, di sini, hari ini.
Katanya modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan lori-lori kecil untuk mengangkut beras seludup dari pengkalan haram dan memunggah ke dalam lori treler untuk dibawa ke luar negeri Kelantan.
“Berdasarkan siasatan awal beras tersebut dipercayai dihantar ke pasaran luar negeri Kelantan iaitu di Lembah Klang dan bahagian utara,”katanya.
Jelasnya kegiatan itu baru dilakukan sejak beberapa minggu lalu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan oleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh 20 kali nilai barang atau RM500,00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,’katanya.
Sehubungan dengan itu beliau menggesa orang ramai membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,”katanya.
IMedikel TV






