Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan meningkatkan penguatkuasaan di tiga pintu masuk utama di sempadan negeri ini susulan pihak berkuasa merobohkan 153 pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan sekiranyaa sindiket mengubah modus operandi.
Katanya tiga pintu utama sempadan adalah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.
“Kami sentiasa bersedia untuk berdepan kemungkinan penyeludup mengubah modus operandi.
“Bagaimanapun kami menyokong tindakan merobohkan pengkalan haram itu kerana selepas ini mereka akan menggunakan pintu utama,”katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata sekiranya menggunakan pintu utama atau laluan sah secara tidak langsung dapat mempertingkatkan hasil cukai negara.
“Sekiranya mereka menggunakan laluan sah secara tidak langsung barang dagangan yang dikenakan cukai dapat memberikan hasil yang lebih kepada negara,”katanya.
IMedikel TV






