Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KLANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sarang pelacuran warga asing yang didalangi oleh seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Kevin’ di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Klang Sentral, Selangor, pada Isnin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata premis tersebut berselindung di sebalik syarikat pengurusan hartanah dan import eksport.
“Seorang warga Bangladesh bertindak sebagai ‘Kapten’ menguruskan kegiatan pelacuran wanita-wanita terbabit, kesemua wanita itu dibayar antara RM50 hingga RM80 bagi setiap pelanggan.
“Mereka (wanita) warga asing itu dianggar mendapat RM400 hingga RM600 sehari, bergantung kepada jumlah pelanggan.
“Kejadian itu diketahui anggota Imigresen berdasarkan risikan selama dua minggu setelah mendapat aduan daripada orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 10.25 malam itu, seramai 21 individu diperiksa.
“Daripada jumlah itu, lapan daripada mereka adalah lelaki warga Bangladesh manakala sembilan lagi wanita Vietnam, kesemua mereka berusia 21 hingga 32 tahun.
“Mereka ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.
Katanya, semua warga asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
IMedikel TV






