Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan seramai 115 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika membuat pemeriksaan menerusi Ops Kutip di Loji Rawatan Air Chica, selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan dalam satu kenyataan berkata, operasi itu bermula jam 2 petang semalam melibatkan 16 pegawai pelbagai pangkat daripada bahagian penguatkuasaan imigresen Kelantan.
“Penahanan membabitkan 114 orang warga lelaki Bangladesh manakala satu orang warga India.
“Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 18 hingga 55 tahun dan dipercayai bekerja di LRA Chica,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Yusoff berkata, mereka dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk disiasat kerana disyaki dengan munasabah sudah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
JIM Kelantan turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat tentang PATI dan akan mengambil Tindakan tegas sekiranya didapati ada pihak mendalangi dan bersubahat dalam melindungi mereka.
IMedikel TV






