Home Buletin Semasa JIM JOHOR GEMPUR PREMIS WARGA ASING, 108 PATI DITAHAN

JIM JOHOR GEMPUR PREMIS WARGA ASING, 108 PATI DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan 108 warga asing dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di beberapa premis perniagaan sekitar Taman Sri Bahagia, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 8 malam itu menyasarkan premis-premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan oleh warga asing.

“Operasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen, sekali gus membanteras penyalahgunaan pas lawatan, pas kerja serta kemudahan imigresen.

“Tindakan ini dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran peraturan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan kekuatan pegawai dan anggota daripada kedua-dua agensi, pemeriksaan menyeluruh dilakukan di setiap premis yang dikenal pasti.

Katanya, semakan turut dibuat terhadap dokumen perjalanan, pas dan permit yang dimiliki individu di lokasi bagi memastikan mereka berada serta menjalankan aktiviti di negara ini mengikut peruntukan undang-undang.

“Hasil pemeriksaan, seramai 108 warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita warga Indonesia, 15 lelaki serta dua wanita warga Nepal, empat lelaki warga India, 22 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar, 32 lelaki warga Bangladesh serta 16 lelaki warga Pakistan,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Sebanyak dua Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here