Home Sukan JERMAN PECAT FLICK MENJELANG EURO 2024

JERMAN PECAT FLICK MENJELANG EURO 2024

BERLIN: Jerman memecat jurulatih Hansi Flick hanya sembilan bulan sebelum menjadi hos Euro 2024 selepas kekalahan mengaibkan 4-1 di tangan Jepun awal pagi tadi, umum Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) malam ini.

Flick muncul ketua jurulatih Jerman pertama dan satu-satunya dipecat sejak posisi itu diperkenalkan pada tahun 1926.-Memetik laporan agensi menerusi berita harian-

Kelibat terakhir Hansi Flick bersama skuad kebangsaan Jerman menentang Jepun di Arena Volkswagen,Wolfsburg awal pagi tadi selepas beliau dipecat DFB malam ini. – Foto REUTERS

Pengarah sukan Rudi Voeller, yang melatih pasukan ke final Piala Dunia 2022 menentang Brazil, akan mengambil alih secara sementara dengan penggantinya akan diumumkan kemudian.

Bos DFB, Bernd Neuendorf berkata, pemecatan itu “tidak dapat dielakkan” selepas rentetan keputusan mengecewakan pasukan itu akhir-akhir ini.

Dalam satu kenyataan, Neuendorf berkata “memandangkan Kejohanan Eropah akan diadakan di negara sendiri, kami memerlukan semangat optimis dan yakin”, dengan menyatakan keputusan itu salah satu daripada “yang paling sukar setakat ini.”

Pemain Jerman kelihatan sugul apabila tewas 4-1 di tangan Jepun pada aksi persahabatan antarabangsa di Arena Volkswagen, Wolfsburg awal pagi tadi. – Foto AFP

Jerman gagal memberi cabaran kepada Samurai Blue pada aksi persahabatan antarabangsa di laman sendiri di Wolfsburg, dengan beberapa tindakan penyelamat akrobatik daripada Marc-Andre ter Stegen menafikan jaringan sama seperti ketika dibelasah England 5-1 di Munich pada 2001.

Jerman kini tewas empat daripada enam perlawanan sejak tersingkir awal pada Piala Dunia Disember lalu. Euro 2024 bermula di Jerman pada Jun 2024.

Penyokong tuan rumah mengejek pasukan Jerman pada babak pertama, dengan sesetengah menjerit supaya “Hansi dipecat” pada hujung perlawanan itu.

Secara sejarah, Jerman agak keberatan untuk membuat perubahan drastik bagi posisi jurulatih dengan tiada sesiapa sebelum Flick dipecat.

Dilantik pada Mei 2021 selepas tempoh 15 tahun Joachim Loew berakhir, Flick adalah ketua jurulatih ke-10 Jerman sejak Perang Dunia Kedua. – AFP

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here