Home Hiburan ISTERI HARUN HASHIM TIBA-TIBA SESAK NAFAS

ISTERI HARUN HASHIM TIBA-TIBA SESAK NAFAS

138
0

JERAM: Kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez bagi menyantuni pelakon veteran, Harun Hashim, 68, yang berdepan masalah kesihatan bertukar sebaliknya.

Ia berikutan isteri pelakon terbabit, Sakinah Ganjali, 48, yang juga kurang sihat tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam dengan ambulans.

Sakinah mengalami sesak nafas ketika kunjungan Freddie yang turut disertai Harian Metro dan TV3 bagi meninjau keadaan pasangan terbabit yang mengalami kesukaran hidup.

Harun mengalami masalah penglihatan mata kiri diliputi selaput, kencing manis dan kolesterol kini tidak lagi mendapat tawaran berlakon.

Dia dan isteri kini terpaksa menumpang tinggal di rumah sewa anak saudaranya yang agak sempit di Bukit Hijau, di sini, akibat pendapatannya terjejas.

“Selama ini, isteri saya cari rezeki berniaga kecil-kecilan. Antaranya menjual kerepek, kuah pecal, yong tau fu dan pelbagai lagi. Kami juga baru buka kedai makan jual nasi lemak, nasi Arab dan lontong.

“Tapi belum pun sampai sebulan berniaga isteri tiba-tiba jatuh sakit. Dia mula dikesan susah bernafas sejak dua minggu lalu, manakala payudara kanan pula bengkak.

“Isteri ada buat rawatan bekam, namun yang keluar nanah dan darah. Saya juga sudah bawa dia ke klinik selain dapatkan rawatan tradisional, namun keadaannya semakin memburuk termasuk hanya tidur di kerusi,” katanya sebak.

Sementara itu, melihatkan keadaan Sakinah yang semakin teruk, Freddie segera menghubungi ambulans untuk membawa Sakinah ke hospital berdekatan.

“Saya dapati keadaan Sakinah agak lemah dan sukar bernafas. Keadaannya tak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Dia juga ada beritahu bahagian payudara sudah ada nanah dan ia perlu pemeriksaan segera. Dalam pada itu, kesihatan Harun juga boleh dikatakan tidak stabil dan perlu dapatkan rawatan.

“Dia adalah nama besar dalam bidang lakonan. KARYAWAN akan melihat apa bantuan yang boleh dihulurkan kepadanya. Untuk hari ini (semalam) kami ada beri sedikit sumbangan,” katanya.

Harun yang dikenali sebagai hero drama Melayu era 1980-an, diingati ramai dengan watak Cikgu Shahrin menerusi drama Pa’e pada 1997. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here