Home Buletin Semasa JABATAN PERIKANAN PANDANG SERIUS INSIDEN TIGA INDIVIDU KACAU GANGGU PENYU

JABATAN PERIKANAN PANDANG SERIUS INSIDEN TIGA INDIVIDU KACAU GANGGU PENYU

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUANTAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang memandang serius insiden tiga individu yang telah mengacau ganggu dan memperlakukan penyu dengan kejam di Pantai Pendaratan Penyu Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating pada 27 Julai lalu.

Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.45 pagi apabila seekor penyu sedang naik ke pantai untuk bertelur.

“Bagaimanapun, pihak jabatan telah menjalankan siasatan awal di lokasi, pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama polis.

“Kami amat kesal dengan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, insiden itu mencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.

Jelasnya, individu yang didapati mengganggu, menangkap, atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000.

“Orang ramai perlu melaporkan segera jika ada sebarang aktiviti mencurigakan agar penyu ini terus selamat dan mendarat di perairan.

“Kita semua bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan membuat yang berterusan di lokasi pendaratan penyu utama termasuk Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here