Home Buletin Semasa ISU BULI: POLIS MAHU PELAJAR FAHAM BEZA GURAUAN DAN INTIMIDASI

ISU BULI: POLIS MAHU PELAJAR FAHAM BEZA GURAUAN DAN INTIMIDASI

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah mengenai perbuatan buli supaya mereka dapat membezakan antara gurauan biasa dengan perlakuan yang boleh menjejaskan emosi, mental dan fizikal seseorang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kefahaman yang tepat mengenai buli penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan pelajar, khususnya di peringkat sekolah menengah.

Menurutnya, terdapat pelajar yang menganggap perbuatan mengusik atau memberikan gelaran tertentu sebagai buli, sehingga ada yang hilang semangat untuk hadir ke sekolah.

“Kadang-kadang orang usik sedikit pun sudah dianggap buli. Orang beri gelaran sedikit, mereka tidak mahu pergi sekolah.

“Jadi, kita mahu mereka benar-benar memahami maksud buli itu,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan buli bukan sahaja boleh mengakibatkan kecederaan fizikal, malah intimidasi dan gangguan turut berpotensi menjejaskan kesihatan mental mangsa.

Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan memberikan penerangan secara langsung kepada pelajar perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka memahami bentuk perlakuan yang boleh dikategorikan sebagai buli.

Menurutnya, pemahaman itu penting supaya pelajar dapat mengenal pasti perbuatan buli dengan lebih tepat serta memahami kesannya terhadap individu yang menjadi mangsa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here