Home Hiburan ISTERI SHAH ISKANDAR TERPAKSA GUGUR KANDUNGAN KERANA ‘SINDROM EDWARDS’

ISTERI SHAH ISKANDAR TERPAKSA GUGUR KANDUNGAN KERANA ‘SINDROM EDWARDS’

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar berkongsi khabar duka apabila memaklumkan isterinya, Siti Sarah, terpaksa menjalani proses pengguguran kandungan selepas bayi dalam kandungan mereka disahkan menghidap Sindrom Edwards.

Menerusi hantaran di Instagram Story, Shah berkata kandungan isterinya kini berusia 16 minggu, namun keputusan pemeriksaan doktor menunjukkan bayi mereka mempunyai kromosom berlebihan serta lapisan belakang leher menebal sehingga 4.8 sentimeter, antara tanda utama sindrom berkenaan.

“Mungkin ada yang tahu atau tidak, isteri saya kini mengandung anak ketiga kami dan kandungan sudah berusia 16 minggu.

“Namun bayi kami disahkan menghidap Sindrom Edwards atau trisomi 18. Dalam istilah mudah, bayi mempunyai kromosom berlebihan,” tulisnya.

Memetik laporan Harian Metro, Shah memaklumkan doktor menasihati agar proses pengguguran dilakukan segera berikutan keadaan itu berisiko tinggi terhadap nyawa ibu, apatah lagi isterinya baru sahaja menjalani pembedahan caesarean kira-kira lapan bulan lalu.

“Doktor menasihatkan kami untuk melakukan pengguguran awal kerana keadaan ini boleh mengancam keselamatan Sarah, selain kadar survival bayi hanyalah sekitar lima peratus.

“Walaupun ada kemungkinan kecil bayi bertahan hingga tarikh jangkaan bersalin, jangka hayat selepas lahir hanya antara enam bulan hingga setahun itu pun dengan bantuan alat hayat,” tulisnya.

Mengakui keputusan itu amat berat untuk dibuat, Shah berkata mereka akhirnya reda dan akur dengan nasihat pakar demi kebaikan semua pihak.

“Dengan berat hati dan selepas mendapat pandangan tegas daripada doktor, kami akhirnya memutuskan untuk meneruskan proses pengguguran. Kami tidak mahu anak kami menanggung kesakitan hanya untuk bertahan seketika dengan bantuan hayat,” tulisnya.

Pelakon drama Andai Itu Takdirnya itu turut memaklumkan bahawa dia kini berada di Kuala Lumpur bagi menemani isterinya yang sedang menjalani proses pengguguran di hospital.

“Sarah sudah dimasukkan ke wad sejak malam Isnin dan kini sedang melalui proses induce kali kedua pada jam 5 petang, Selasa. Saya akan segera pulang ke Singapura selepas semuanya selesai,” tulisnya.

Dalam pada itu, Shah memohon doa orang ramai agar urusan isterinya dipermudahkan dan diberikan kekuatan melalui ujian berkenaan.

“Mohon semua doakan keselamatan Sarah dan semoga proses ini berjalan lancar. Insya-Allah, kami percaya puteri kecil kami akan menanti kami di syurga nanti.

“Saya hanya minta agar semua terus mendoakan isteri dan anak kami,” ujarnya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here