NEW YORK: Israel tidak mempedulikan undian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mahupun gesaan peribadi negara sekutu rapatnya bagi menghentikan serangan di Gaza.
Lonjakan kegusaran antarabangsa terhadap keadaan 2.3 juta orang yang terkepung akibat serangan udara rejim Zionis menyebabkan beberapa kuasa besar minggu ini, menggesa Israel menghentikan seketika serangan supaya bantuan kemanusiaan dapat disalurkan.
Keadaan itu turut mengakibatkan perselisihan umum pertama antara Israel dan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK) dan ahli G7 lain seperti Jepun.
Jurucakap Kementerian Luar, Lior Haiat, semalam berkata Israel ketika ini menentang syor gencatan senjata manakala seorang pegawai kanan rejim Zionis menyifatkan gesaan itu sebagai ‘tidak jujur’.
Gesaan itu mendapat saingan diplomasi hebat di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan Brussels, antara pihak yang mahu Israel melakukan gencatan senjata serta golongan mendakwa menjadi hak rejim Zionis untuk mempertahankan diri.
Sementara itu, Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa, semalam berkata gesaan supaya Israel melakukan gencatan senjata sedang dilakukan secara dua hala di PBB.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam kenyataan semalam, mengalu-alukan lonjakan konsensus global ‘perdamaian kemanusiaan’, selain mengulangi gesaan gencatan senjata, pembebasan tebusan tanpa syarat dan agihan bantuan demi menyelamatkan golongan memerlukan.
Di Semenanjung Gaza, Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin mengalu-alukan resolusi UNGA pagi tadi, menggesa gencatan senjata kemanusiaan di Gaza, ketika Israel meningkatkan serangan ke atas wilayah itu.
Hamas menerusi kenyataan turut mendesak Israel supaya segera menyalurkan bahan api dan bantuan kemanusiaan kepada orang ramai.
Kementerian Luar Pihak Berkuasa Palestin pula berkata, terdapat gesaan antarabangsa yang kukuh membantah pencerobohan tidak terkawal Israel ketika kekejaman rejim Zionis memuncak ke tahap baharu.
– AGENSI, BH Online-
IMEDIKEL TV






