Home Luar Negara ISRAEL HENTIKAN TEMBAKAN, PENDUDUK GAZA MULA PULANG KE RUMAH

ISRAEL HENTIKAN TEMBAKAN, PENDUDUK GAZA MULA PULANG KE RUMAH

NUSEIRAT: Israel mula melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan menarik balik tenteranya, manakala puluhan ribu penduduk Palestin yang keletihan mula kembali ke rumah mereka yang musnah.

Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian tentera Israel berkata, pasukannya sudah menghentikan tembakan sejak tengah hari sebagai persediaan untuk perjanjian gencatan senjata dan pemulangan tahanan.

Tiga jam kemudian, Pentagon mengesahkan Israel sudah menamatkan fasa pertama penarikan balik yang digariskan dalam pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Penarikan balik itu juga menetapkan syarat bagi Hamas membebaskan tahanan yang masih ditahan di Gaza dalam tempoh 72 jam, yang tamat esok .

Bagaimanapun, tentera Israel masih menguasai sekitar 53 peratus wilayah Palestin dan rakyat Palestin dinasihatkan untuk mengelak dari kawasan operasi tentera Israel semasa mereka kembali ke Semenanjung Gaza

Sementara itu, Israel mengeluarkan senarai 250 tahanan Palestin yang dirancang untuk dibebaskan bersama-sama dengan 1,700 rakyat Gaza yang ditahan sejak serangan Hamas yang mencetuskan konflik pada 7 Oktober 2023.

Seiring dengan gencatan senjata, rakyat Palestin, yang keletihan akibat dua tahun pengeboman hebat dan kebuluran, mula bergerak dari bandar selatan Khan Yunis menuju rumah mereka yang musnah di utara.

Pekerja penyelamat mula mengutip berpuluh-puluh mayat dari timbunan runtuhan selepas gencatan senjata berkuat kuasa.

Misi Kesatuan Eropah (EU) di sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir juga akan membuka semula laluan pejalan kaki pada 14 Oktober, menurut Itali.

Di bawah perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan oleh Trump, Hamas akan menyerahkan 47 tahanan yang masih hidup dan yang meninggal dunia dari 251 yang diculik semasa serangan pada 7 Oktober dua tahun lalu.

Mayat seorang lagi tahanan, yang ditahan di Gaza sejak 2014, juga dijangka akan dikembalikan.

Pemimpin-pemimpin Britain, Perancis dan Jerman menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menyokong pelan itu.

Trump juga mengesahkan akan bertemu pemimpin di Mesir pada Isnin untuk membincangkan masa depan Gaza dan yakin gencatan senjata ini akan membawa kepada perdamaian yang lebih luas di Asia Barat.

Ketika ribuan rakyat Palestin memulakan perjalanan pulang, Hamas, Jihad Islam, dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka sudah mencapai kemunduran bagi (matlamat Israel) pengusiran dan pemindahan penduduk.

Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata sekitar 200,000 rakyat Palestin sudah kembali ke utara sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

“Tentera Israel dan kenderaan perisai sedang berundur dari kedudukan hadapan di Bandar Gaza dan Khan Yunis,” katanya. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here